April 21, 2011

Katakan Saja 'Aku Tidak Tahu!!'



15 Minit sebelum azan berkumandang, Suneo dan Giant,dua orang sahabat sejati ini bergegas masuk ke masjid untuk bersiap sedia menunaikan solat Jumaat. Mereka mengambil wudhu' dan menunaikan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid di saf bahagian tengah. Setelah selesai solat sunat, Giant duduk merapati Suneo dan bertanyakan suatu soalan yang sentiasa bermain di benak fikirannya sebelum ini....

Giant : Suneo,kau terer tak dalam bab agama ni?

Suneo : Emm tak adalah sangat, apahal?

Giant : Tak adalah kalau tak aku nak tanya kau satu soalan....solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu yang tu namanya solat  sunat rawatib eh?

Suneo : A'ah yang tu lah namanya, solat sunat sebelum Solat Fardhu namanya Solat Sunat Qabliyah,kalau selepas ,Solat Sunat Ba'diyah.

Giant :   Kalau macam tu..sebelum Solat Jumaat ada ke Solat Sunat Qabliyah??

Suneo : Err..tak pasti...err..AKU TAK TAHU lah..(waktu itu Suneo tidak tahu langsung apa dalilnya solat qabliyah sebelum solat Jumaat)

Selepas itu, datanglah si Nobita dari arah belakang menyapa dan duduk bersebelahan mereka..

Nobita : Hai korunk, korunk citer apa ni?

Suneo : Tak ni hah, Giant tanya aku..ada ke Solat Sunat Qabliyah sebelum Solat Jumaat,kau tau? Ceciter sikit...

Nobita : Hek eleh apalah korunk ini, jawapannya ADA lah..korunk tak tengok ke sebelum ni kalau selepas azan je semua orang bangun buat solat sunat ni....ikut aje lah diorang....

Giant : Ohhhhh...habis tu kalau kita masuk masjid selepas azan, nak buat Solat Tahiyatul dulu ke Solat Qabliyah dulu???

Nobita : Buat Solat Qabliyah lah..

Suneo : Abis..Solat Tahiyatul masjid kau campak mana, Nobita?

Nobita : Tak payah buatlah..dia kira macam skip lah....

Selepas itu azan pertama  Solat Jumaat pun berkumandang dan mereka melakukan Solat Sunat Qabliyah seperti Nobita katakan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Haaaa..Anda nampak tak kesalahan penerangan yang si Nobita buat? Mari kita bongkar satu persatu :)

Kesalahan Pertama:
Mengatakan Solat Qabliyah ada sebelum Solat Jumaat

Tidak ada satu nas pun yang menunjukkan bahawa adanya Solat Qabliya sebelum Solat Jumaat. Pada zaman Rasulullah, apabila masuk waktu Solat Jumaat Rasulullah terus naik ke mimbar.
Sepertimana al Hafiz Abu Syamah menerangkan :
"Bahawa kebiasaan Nabi SAW ketika keluar dari rumahnya pada hari Jumaat, maka baginda terus naik ke mimbar lalu muazin melaungkan azan. Setelah Muazin melaungkan azan,maka baginda terus menyampaikan khutbahnya. Seandainya pada Solat Jumaat tersebut wujud Solat Sunat Qabliyah, tentu sesudah azan baginda akan menyuruh para sahabatnya menunaikan solat tersebut."
Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar :
Aku solat bersama Rasulullah s.a.w. dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat setelah maghrib, dua rakaat setelah Isya’, dan dua rakaat SETELAH Solat Jumaat.” 
Hadith ini merupakan nas yang cukup jelas menyatakan tidak ada Solat Qabliyah sebelum Jumaat. Menurut sahabat Solat Jumaat adalah berbeza dengan Solat Zuhur. Ia tidak disebutkan Solat Jumaat mempunyai solat sunnah melainkan,solat selepasnya (Solat Ba'diyah) . See..? Nobita you failed :)



Kesalahan Kedua:
Mengatakan Tiada Solat Tahiyatul Masjid Selepas Azan
Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila salah seorang dari kamu masuk kedalam masjid, dia hendaklah tidak duduk sehingga melakukan 2 solat" (Hadith sahih, mutafaq 'alaih)
Dalam Hadith lainnya yang diriwayatkan oleh Jabir:

“Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat (ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah), maka baginda bertanya, “Apakah engkau sudah solat?” Ia menjawab, “Belum”. Baginda s.a.w. berkata, “Kalau begitu, solatlah dua rakaat''(Hadith riwayat Bukhari)
Maka cukup jelaslah berdasarkan hadith yang saya kemukakan, apabila masuk sahaja masjid perlu menunaikan Solat Tahiyatul Masjid. Tidak perlu di 'skip skip' kan..Nobita..you failed again :)



Kesalahan Ketiga:
Berhujah Menggunakan Logik Akal
Inilah yang betul betul saya cuba nak highlightkan dalam entry kali ni. Bukannya tentang Solat Qabliyah Jumaat atau Solat Tahiyatul Masjid. Tetapi berhujah tentang agama MENGGUNAKAN LOGIK AKAL. Katakan saja "Aku Tidak Tahu", atau aku kurang pasti dan sebagainya. Kalau tidak kita bukan saja merosakkan diri sendiri bahkan merosakkan orang lain, betul tak?

Sabda Rasulullah SAW:
 "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dimana jika kamu berpegang kepada keduanya,kamu tidak akan sesat selamanya,iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya
(Hadith riwayat Malik)

Firman Allah dalam Surah al Haj ,ayat 8 :

Maksud: "Dan di antara manusia ada orang orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang bercahaya"
Oleh itu, jika kita berhujah tidak berlandaskan al Quran, asSunnah, mahupun jumhur ulama'. Nescaya bukan sahaja kita sesatkan orang lain, malah merugikan diri kita sendiri kerana dapat dosa free. Tambahan pula di akhir zaman ini, ramai orang orang jahil akan bercakap seperti ulama, seperti merekalah yang paling alim agama, walhal mereka tidak tahu apa apa pun tentangnya. Berhati hatilah. :)

**Kisah di atas adalah kisah benar,hanya watak pelakon sahaja rekaan semata mata**


Sampaikan ajaranku walau satu ayat{Sabda Rasulullah}


Wallahua'lam
-Salam Terbaik Ummat-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...