May 17, 2011

Filem Seram - Macam Cendawan

Antara Filem Seram Melayu

Tak ubah seperti cendawan tumbuh selepas hujan - perumpamaan paling sesuai bagi filem genre seram masa kini. Jika kita lihat mana mana panggung wayang, filem seram memang tak terlepas dalam list senarai tayang yang ada, betul ? Pendek cerita filem genre seram kini memang top meletop pop top lah.

1. Jangan Rosakkan Akidah Kita.

Saya tak pernah lihat orang terbang melayang, tapi kalau pontianak terbang awan keawanan pernah lah banyak kali (dalam filem).
Mereka wujud, tetapi yang wujud hanyalah syaitan bukannya hantu. HANTU adalah omongan kosong semata mata, dan yang hanya wujud adalah syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan manusia.

Antara unsur yang paling diminati oleh pembikin filem seram ialah hantu dan saka. Lazimnya pembikinan cerita akan bermula dengan kenyataan berbentuk nasihat yang memberitahu kekuasaan Allah dan dosa amalkan syirik.
Namun, sejauhmana ia berkesan dalam menasihati orang ramai ? Pernah terbiasa tak dengar dialog ni(atau seangkatan dengannya) :

Adik Manja : Mak,mak temankan adik tidur malam ni...boleh tak?

Mak Prihatin: Kenapa kena teman malam ni? Sebelum ni ok je..bukan ada orang jahat pun dalam rumah ini.

Adik Manja: Takut..takut ada hantu bawah katil, tadi tengok cerita Ju'On.

Yang hanya layak ditakuti hanyalah Allah. Jangan rosakkan akidah kita. Jangan rosakkan akidah kita.

2. Perihal Kebangkitan Roh Selepas Mati.


Kebangkitan roh selepas mati adalah perkara mengarut. Tidak ada satu dalil pun mengatakan tentangnya. Malah kita tidak disuruh pun untuk menggambar dan memikirkannya.

Sabda Rasullah SAW:
''Sesungguhnya seorang manusia itu apabila telah diletakkan dalam kubur dan beredar kaum kerabatnya meninggalkan kuburnya maka akan terdengarlah olehnya bunyi derapan kasut mereka itu dan datanglah dua malaikat duduk di sisinya ''. (Riwayat Bukhari)
Selain itu, mempercayai roh manusia yang tidak diterima serta terawang awang di dunia kerana kejahatannya semasa di dunia juga adalah dusta.

Firman Allah dalam Surah An Naml ayat 65:
Maksud: ''Katakan Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun baik di langit dan di bumi yang ketahui perkara ghaib melainkan Allah''
Siapalah kita untuk memikirkan perkara ghaib ini semua.


Wallahua'lam
-Salam Terbaik Ummat-

May 09, 2011

Virus H1MengumpatN1

Saya dapat penemuan virus terbaru, H1MengumpatN1 di makmal semalam. Bahaya. Pernah dengar? Harap semua dapat tutup muka gunakan mask dan cuci tangan selalu menggunakan lifebuoy. Haa..
Ok Ok memang tak lawak, cuma tak ada idea nak buat intro. Baiklah, tanpa buang masa, lets street to the pond.

1. Pengenalan Ringkas:

Ghibah: Seseorang mengatakan perihal seseorang yang lain tentang hal keburukannya tanpa pengetahuannya. Dalam bahasa orang sekarang ia dipanggil bergosip / mengumpat.

Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

''Tahukah kamu apa itu ghibah?'' Mereka (para sahabat) menjawab: 'Allah dan RasulNya lebih tahu,'
Baginda bersabda: 'Iaitu kamu menyebut saudaramu dengan sesuatu yang dia tidak suka.'(Riwayat Muslim)
Ada penyakit yang lebih kurang sama dengan ghibah iaitu namimah.

Namimah: Memindah ucapan orang kepada orang lain bertujuan merosakkan individu tersebut. Dalam kata lainnya dipanggil mengadu domba. Contoh:

Kak Limah: ''Joyah, Joyah, aku dengar cerita dari Che' Nin kan, Usop anak Wilcha hujung kampung seberang tu kan, kena tangkap basah, padan muka Wilcha, aku dari dulu tak suka dia tu''
Kak Joyah: Ish, Ish,Ish..takpe,takpe.. kite bako je, kite bako



2. Sebab Ghibah dan Namimah.
Larangan melakukan 2 perkara tersebut sudah diketahui meluas oleh umat Islam, namun masih ramai lagi tanpa segan silu lepaskan lidahnya melakukan perbuatan tersebut. Adapun sebab sebab perkara ini masih berlaku kerana:

-Hasad-tidak mahu orang lain lebih daripadanya.
-Menghina dan merendahkan orang lain, merasakan diri perfect.
-Dijadikan bahan untuk bergurau dan membuat lawak.
-Menyesuaikan diri agar lebih akrab dengan teman persegaulan.
-Hendak melaga lagakan orang lain.
-Menaikkan mutu diri sendiri dengan mengejek kekurangan orang lain.
-Mengajak simpati dari teman berbual?



3. Alternatif Ghibah (Mengumpat).
Ghibah boleh terjadi dalam 4+1 keadaan:
1. Mengadu Kezaliman:- Mangsa kezaliman boleh mengadu kepada pemerintah untuk diminta berlindung.Contoh:''Tuan polis, tolong bantu saya tuan Polis, Halim kawan saya hendak bunuh saya.''

2.  Minta Bantuan Untuk Mengubah Kemungkaran Agar Pelakunya Kembali Ke Jalan Benar:-
Contoh: ''Emak, emak, hari tu adik nampak abang hisap rokok belakang sekolah.Tolong betulkan dia mak''

3. Meminta Fatwa:- Seseorang boleh meminta dari pandangan mufti, Contoh:
''Ustaz,Ayahku kerap menyuruhku membeli arak,apa hukumnya''. Tapi dalam hal ini lebih baik mengatakan,''Ustaz,ada seseorang kerap menyuruhku membeli arak, apa hukumnya?''
Dalam reaksi sebegini, yang bersangkutan dapat sampai apa yang diinginkan tanpa menunjuk aib/rupa seseorang.

4. Dalam Memberi Nasihat:-Memberikan maklumat positif tentang seseorang dalam memberi nasihat. Perkara ini boleh dilakukan tetapi dengan niat memberi nasihat.

5. Identifikasi:- Apabila seseorang itu dikenali dengan sifat tertentu, seperti: si tuli, si kudung, si juling.
Jika disampaikan dalam bentuk mengumpat kekurangannya, maka ia haram.



4. Menutup Aib Orang Lain.

Perbuatan ghibah dan namimah  adalah antara perbuatan terkutuk dalam Islam.
Seperti Sabda Rasulullah SAW:
''Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling buruk di antara kalian? Dia adalah orang yang berjalan berkeliling melakukan namimah, merosak persaudaraan orang-orang yang saling bercinta dan yang mencari kesalahan orang'' (Riwayat Ahmad).
Islam melarang keras membuka aib orang lain dan menyebarkannya kepada umum. Antara amarannya ialah:
Amaran 1:
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
''Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.''
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Amaran 2:
Firman Allah dalam Surah al Hujuurat ayat 12 yang bermaksud:
''..dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.''
Amaran 3:
Firman Allah dalam Surah an Nur ayat 19 yang bermaksud:
''Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.''
Kebiasaannya orang bergosip/mengumpat tentang orang orang popular seperti artis, ahli ahli politik, orang yang dibenci dll. Kebiasaannyalah.
Kalau cerita cerita baik yang bermanfaat tentang seseorang itu yang tiada unsur unsur lagha adalah dibolehkan.

Saya pun suka dengan mutiara kata ni:

''Untuk apa mengharapkan isteri sebaik Saiditina Khadijah
Jika sendiri tidak semulia Nabi Muhammad''

Haa..maksud tersirat? Kena cermin diri sendiri dulu. Kita Jangan mudah mencari kesalahan dan buka aib orang lain kemudian menghebahkannya. Saya hanya mengingatkan diri sendiri dan sesaudara Islam yang lain.


Sampaikan ajaranku walau satu ayat{Sabda Rasulullah}

Wallahua'lam
-Salam Terbaik Ummat-

May 05, 2011

Qazaf-Menuduh Zina




Qazaf , dalam Bahasa Melayu bererti menuduh zina. Menuduh orang orang yang bersih dengan tohmahan seperti zina, liwat, membunuh dan sebagainya, ia satu perbuatan haram di sisi Islam. Malah ia boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azabNya.
Kerana tohmahan seperti itu mampu menyerang kemuliaan diri seseorang yang beriman samada lelaki atau perempuan.

1. Bentuk Qazaf.
=Menuduh Secara Terang.
Membuat tuduhan seperti, ''Woi, penzina'' atau ''Wahai orang zina''.

=Menuduh Secara Kinayah.
Menuduh secara kiasan. Guna ayat yang tidak jelas tetapi merujuk sama erti dengan zina seperti, ''Woi, pembuat perbuatan terkutuk''

=Menuduh Secara Ta'ridh
Menuduh secara sindiran.

Menuduh secara terang akan serta merta dilaksanakan hudud. Bagi tuduhan secara Kinayah dan Ta'ridh, ia bergantung kepada niat. Jika niatnya bukan menuduh zina, maka ia dikenakan hukuman ta'zir, dan hudud tidak akan dilaksanakan.

2. Perbicaraan.

Orang yang dituduh melakukan zina,liwat tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang patut dibicarakan ialah orang yang menuduh.
Baru adil, betul tak? Sebab dia telah melemparkan tuduhan qazaf maka dia perlu kemukakan bukti yang kukuh. Mari kita lihat bukti yang dimaksudkan.

3. Pemberian Bukti.
Firman Allah dalam Surah an Nur yang bermaksud:
''Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka pada diri mereka sendiri. Dan (mengapa tidak) berkata:''Ini adalah satu bohong yang nyata''. Mengapa mereka yang menuduh itu tidak mendatangkan 4 orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana tidak mendatangkan saksi saksi maka mereka itulah pada Allah orang orang yang dusta''
Itulah hukum Allah yang tegas- datangkan 4 orang saksi jika tidak mereka berdusta di sisi Allah! Penuduh mesti mendatangkan 4 orang saksi adil yang tiada cacat peribadinya. Kesemua saksi mesti melihat tertuduh melakukan zina.
Pernah tengok tak pihak jabatan agama tangkap pasangan bercinta berkhalwat di tempat tempat sunyi? Mereka 'serang' bersama tok imam, polis, pak ustaz, bla bla bla. Mereka mendatangkan beberapa orang saksi. Begitulah cara yang betul. Kalau guna cara DNA, video, khabar angin, media media? Wallahua'lam saya bukan berfikiran jumud tapi sudah nyata firman Allah di atas, hukum Allah tetap hukum Allah. Maka cara yang lain selain dari hukum Allah, maka ia dianggap pendusta di sisiNya.

4. Hukuman Bagi Penuduh Yang Berdusta.

Firman Allah dalam Surah an Nur ayat 4-5, bermaksud:
''Dan orang orang yang menuduh wanita wanita baik, mereka tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh) 80X sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama lamanya. Dan mereka itulah orang orang yang fasik''
Firman Allah di atas menyebutkan 3 jenis hukuman:

=Hukuman Fizikal.
Hukuman sebatan sebanyak 80X.

=Hukuman Moral/Sosial.
Menggugurkan semua pertimbangan sosial penuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, politik, dan sivil tidak boleh diguna pakai.

=Hukuman Agama.
Menggelar penuduh sebagai seorang yang FASIK dan memasukkannya dalam golongan Fasiqun.
Firman Allah dalam Surah as Sajdah ayat 20, bermaksud:
''...Adapun orang orang yang fasik, maka tempat mereka dalam neraka''
5. Orang Yang Dituduh Berhak Membela Diri.

Hak seseorang yang dituduh dengan tuduhan melibatkan agama,maruah ialah:  Membela diri daripada tuduhan si penuduh yang zalim dengan meninggikan suara dan nyatakan kebenaran.
Bahkan satu ayat al Quran memberi satu hak istimewa untuk melindungi maruah dirinya.
Firman Allah dalam Surah an Nisa' ayat 148:
Maksud: '' Allah tidak menyukai ucapan ucapan buruk yang diucapkan dengan terus terang kecuali oleh orang orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksud: ''Jika kamu melihat umatku telah takut mengatakan kepada si zalim, wahai zalim, mereka telah ditinggalkan (Allah), Setiap Muslim yang mengenal kebaikan peribadi saudaranya wajib membelanya jika dia mendengar saudaranya itu diberitakan secara buruk'' (Riwayat Tirmidzi)
Membela diri apabila difitnah, perkara biasakan?



Wallahua'lam
-Salam Terbaik Ummat-

May 01, 2011

Indahnya Persahabatan

Pada suatu ketika dahulu, terdapat dua orang sahabat baik, namanya ialah Harry Potter dan Ron.
Sejak dari kecil lagi mereka membesar bersama, sekolah bersama, berbuat nakal bersama, senang cerita hampir kesemua benda dilakukan bersama.

Apabila umur mereka mencecah usia remaja, ketika itu telah tercetus Perang Dunia ke-2.
Seluruh pemuda pemuda dari seluruh negeri diwajibkan merekrut angkatan tentera untuk mempertahankan negara, Harry dan Ron tidak terkecuali antara mereka.

Mereka berdua ditempatkan untuk bertempur di barisan hadapan di medan perang.

Pada suatu pagi berkabus, mereka hendak melakukan serangan hendap ke atas kubu pihak musuh.
Ketika mereka masih terkial kial di dalam kabus itu, tiba tiba matahari muncul lalu menghilangkan kabus
yang menyelubungi mereka.

Apabila pihak musuh nampak sahaja kehadiran mengejut mereka, pihak musuh melepaskan tembakan bertubi tubi yang membabi buta.
Maka lari lintang pukanglah angkatan tentera ini termasuk Harry dan Ron.
Kapten menyuruh semua tenteranya kembali ke markas.

'' Fallback! Fallback! Retreat!''

Sebaik sahaja semua tiba di markas, Harry mendapati sahabatnya tidak ada. Maka dengan segera Harry meminta izin kaptennya untuk kembali semula ke kubu musuh untuk mencari Ron. Namun kaptennya melarang.

''Untuk apa kau kembali ke sana ba, mungkin kalau kau kembali ke sana kau akan mati ditembak musuh ba!''

''Saya tak kisah! saya tak kisah langsung!'',lantas Harry bergegas ke kubu musuh untuk mencari sahabatnya.

Selang beberapa jam kemudian, Harry pulang, pulang dengan bahunya yang berlumuran darah. Parah. Tetapi dia tidak pulang bersama Ron. Mungkin tidak jumpa.
Si kapten mengamuk.

''Apa ku bilang ba! Ron tak kembali dan kau pun tertembak ba! Sia sia!!''

Sambil tersenyum, Harry menjawab,''Tidak sia sia, saya mendengar ungkapan terakhir dia''

''Omong kosong!'', Kapten itu membalas.

Namun kerana rasa ingin tahu, kapten itu bertanya lagi.
''Memangnya apa yang dia katakan?Sampai kau sanggup pertaruhkan nyawamu??''


'' 'Saya tahu kau pasti akan kembali mencariku', itulah kata kata terakhirnya
dan dia mengatakan itu sambil tersenyum puas.''

-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mereka akan bersama anda saat anda memerlukan
dan di saat kegembiraan,
namun apabila giliran berduka membebani anda,
mereka satu demi satu telah hilang. Di situ kita tahu siapa sahabat sebenar.
Kasihilah sahabatmu kerana Allah, Insya Allah ia akan berkekalan.

Sabda Rasulullah SAW:
''Jika seseorang itu sayang(kasih) kepada seseorang itu, maka hendaklah dia memberitahunya bahawa dia sayang kepadanya kerana Allah''(Riwayat Abu Daud, at Tirmidzi)



Kawan kawan, saya sayang kamu semua kerana Allah ;- )
Moga berkekalan. Ameen.



-Salam Terbaik Ummat-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...